Thursday, December 17, 2009

Hari-hari Terakhir di Penghujung Tahun 1430 Hijriah

Salam sejahtera buat semua.
















Langit beransur mendung seawal pagi 30 Zulhijjah 1430 Hijriah. Seperti yang telah dilaporkan oleh Jabatan Meteorologi dan Kaji Cuaca, langit hitam yang sarat dengan air memenuhi dada langit.

Perut bumi yang gersang sejak seminggu lalu kehausan titisan air. Mungkin hujan kali ini akan membawa gelombang banjir yang keseterusnya?

Entah, aku pelik. Kenapa banjir tahun ini ada banyak gelombangnya. Berulang-ulang. Hujan yang turun ini sepertinya sama sahaja seperti tahun-tahun sudah. Bukan sekadar di bahagian Pantai Timur, malahan Pantai Barat juga turut menerima nasib yang sama.

Ah, semua ini pasti disebabkan perubahan cuaca. Sekurang-kurangnya itulah yang sering diuar-uarkan. Padahal, sikap manusia yang banyak merubah bentuk muka bumi ini.

Kita telah memenuhi sungai dengan sarat kandungan sampah dan bahan toksik. Kitalah yang banyak menyumbang kepada perubahan ini. Sekarang semua pemimpin sibuk berkata tentang penjagaan alam sekitar, tapi akar umbinya mengertikah?

Angin yang berhembus sepoi-sepoi bahasa makin meliar. Deruan makin jelas kedengaran. Lambaian malar hijau makin galak. Risau juga ada yang tumbang menyembah bumi. Lebih dirisaukan jika ada yang diseret dalam tumbangnya pokok itu, sama ada tiang elektrik mahupun nyawa manusia.

Bila titis hujan pertama turun lalu terpercik dalam mata, baru aku tersedar yang masa sudah berlalu begitu pantas. Aku sudah berada di penghujung tahun. Tak lama lagi di penghujung tahun Masihi. Cepat sangat aku tiba di penghujungnya. Entah bila pula penghujung riwayat hidup ini?

Lalu, ringan tangan ini mengangkat tangan ke langit, lantas berdoa kepada Tuhan, melafazkan doa akhir tahun. Teringat lagi, sebelum ini, kerapkah aku berdoa meminta kepada Tuhan? Ibadah semudah ini, jarang sekali menjadi rutin. Ku cari sebak, tapi tiada air mata yang menitis.

Mungkin tahun baru akan menjanjikan peluang baru? Aku cuba untuk berhijrah kali ini. Untuk kesekian kalinya. Doakan aku.

Tabung Ayam